Penubuhan jawatankuasa khas memantau, menyelaras langkah kesiapsiagaan negara




Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Jun. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dikenali sebagai Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah bagi memantau dan menyelaras langkah-langkah kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kesan ketidakstabilan geopolitik di rantau Timur Tengah.


Kerajaan sebelum ini telah pun melaksanakan pemantauan berterusan terhadap perkembangan konflik di Timur Tengah dan potensi kesannya kepada rantaian bekalan global dan kepada negara.


Berbanding beberapa negara lain yang mengalami kesan serta-merta, Negara Brunei Darussalam (NBD) setakat ini masih dapat menangani situasi ini melalui langkah-langkah awal kerajaan, termasuk dasar simpanan stok negara, pengurusan bekalan strategik serta tindakan berkaitan yang telah dilaksanakan dari semasa ke semasa.


Memandangkan ketidakstabilan geopolitik yang masih berterusan dan berpanjangan serta perkembangan semasa yang terus berpotensi memberi tekanan kepada keperluan asas harian secara menyeluruh, pihak kerajaan memperkukuhkan penyelarasan antara agensi melalui penubuhan sebuah komiti khusus pada peringkat kebangsaan dengan lebih strategik dari segi pemantauan dan tindak balas.


Penubuhan Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah ini adalah langkah proaktif dan bersifat kesiapsiagaan bagi memastikan negara terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya gangguan rantaian bekalan global berterusan atau menjadi lebih ketara kesannya kepada NBD pada masa akan datang.


Komiti ini juga akan menilai secara menyeluruh implikasi jangka sederhana dan jangka panjang terhadap sektor-sektor strategik negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk di NBD.


Antara sektor yang diberikan perhatian termasuk sektor tenaga, makanan, kesihatan, pembinaan dan sektor-sektor lain yang berpotensi terjejas akibat gangguan rantaian bekalan antarabangsa.


Komiti tersebut akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dengan keanggotaan terdiri daripada Ahli-ahli Menteri kabinet yang berkaitan bagi memastikan pendekatan Whole of Government dalam menghadapi cabaran ini.


Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di NBD sentiasa terpelihara. Perkembangan berkaitan dengan Komiti Kebangsaan ini akan dikongsikan dari semasa ke semasa di laman sesawang JPM.


Close